Sarawak Perlu Peruntukan Lebih Program Pembangunan Keluarga

Posted on October 10, 2011, Monday
Utusan Borneo
KUCHING: Jabatan Kebajikan Negeri Sarawak memerlukan peruntukan  yang banyak untuk mengadakan pelbagai program keibubapaan daripada sebahagian Belanjawan 2012 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Jumaat lalu.
WAN ZAIN SYED MOHDZAR
Presiden Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Cawangan Sarawak Wan Zain Syed Mohdzar berkata peruntukan lebih itu adalah untuk mempertingkatkan ilmu di kalangan ibu bapa serta masyarakat keseluruhannya.
Menurut beliau, golongan ibu bapa sememangnya perlu diberi penekanan dalam meningkatkan ilmu mereka untuk mendidik anak-anak mereka bagi menghadapi cabaran dunia moden ini.
“Hakikatnya, ibu bapa adalah golongan pendidik utama sebelum anak-anak mereka pergi ke bangku sekolah secara formal,” katanya ketika dalam ceramah bengkel untuk ahli-ahli Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak Daerah (JKKD) di Sibu semalam.
Wan Zain menegaskan bahawa sudah tentu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak di bawah Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga  amat memerlukan dana yang besar untuk mengadakan sesuatu program kekeluargaan.
Seramai 175 ahli Jawatankuasa Kebajikan Kanak-kanak Daerah seluruh negeri mengikuti bengkel sehari kelolaan JKM Sarawak.
Hadir sama Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad dan Timbalannya Mohamad Suffian.
Beliau menarik perhatian bahawa tanggungjawab JKKD adalah satu tugas yang berat dan antaranya menggalak penyertaan anggota masyarakat dalam usaha kerajaan membendung kegiatan jenayah dan keruntuhan akhlak di kalangan kanak-kanak sambil memberi perhatian terhadap kebajikan mereka.
“Oleh yang demikian, peranan ibu bapa dan penjaga amat mustahak  dan adalah menjadi tugas JKKD membantu pegawai akhlak daerah dalam menjalankan tugas pemantauan serta penyeliaan,” katanya.
Sehubungan itu, Noriah dalam ucapan pembukaannya menggesa ahli-ahli JKKD memberi komitmen dalam menjayakan pelbagai program ‘out reached’ setelah menerima pelantikan sebagai ahli JKKD Daerah bagi 2011 hingga 2014.
Katanya, jabatan terbabit juga sedang meningkatkan sistem perkhidmatan yang terbaik sejajar dengan visi dan misi sebagai tanggungjawab bersama.
“Kejayaan itu memerlukan rakan kongsi yang bijak di mana peranan sukarelawan amat dialu-alukan oleh pihak jabatan dan usaha sedang dibuat untuk menubuh lebih banyak JKKD di daerah-daerah lain,” katanya.
Pada program itu, semua ahli JKKD menerima watikah pelantikan serta menerima geran pentadbiran daripada JKM Sarawak yang disampaikan oleh Menteri Kebajikan Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Comments