Sama Sama Kita Tangani Masaalah Sosial.

Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga perlu fokus selesai masalah sosial

WAN ZAIN
MIRI: Kementerian Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga yang dibentuk baru-baru ini perlu memberi fokus kepada penyelesaian masalah sosial yang melibatkan keruntuhan akhlak belia ketika ini.
Aktivis sosial Wan Zain Syed Mohdzar berkata, keruntuhan akhlak terutama di kalangan belia perlu diberi perhatian berikutan peningkatan kes-kes jenayah melibatkan golongan itu pada masa ini.
“Masalah sosial seperti menghidu gam, pengedaran dadah, seks bebas, pelacuran, pembuangan bayi, lumba haram, perjudian dan sebagainya perlu diberi perhatian dan diselesaikan oleh kementerian terbabit,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Wan Zain yang juga Pengerusi Mimbar Permuakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak berkata, peningkatan masalah sosial di kalangan belia adalah disebabkan kerapuhan institusi kekeluargaan.
“Saya yakin dan percaya jika institusi kekeluargaan itu kukuh dan utuh, budaya kotor yang cuba meresap masuk untuk mempengaruhi anak-anak dalam sesebuah keluarga tidak akan berjaya,” katanya.
Budaya kotor yang dimaksudkan seperti pergaulan bebas sehingga menyebabkan kejadian sumbang mahram, seks bebas, rogol, pengambilan dadah, samun, pecah rumah dan sebagainya
.
“Kejadian jenayah yang berlaku ketika ini yang kebanyakannya dilakukan belia adalah disebabkan pengabaian kasih sayang oleh ibu bapa terutama ibu bapa yang sudah bercerai,” katanya.
Sehubungan itu, pelantikan dua menteri muda dalam kementerian itu diharap dapat melihat secara halus isu-isu semasa yang melibatkan masalah kekeluargaan dan gejala sosial di kalangan belia.

Tambahnya, peningkatan jumlah perceraian melibatkan pasangan muda juga perlu diberi perhatian berikutan terdapat pasangan yang bercerai mengabaikan anak-anak mereka tanpa memberi sebarang nafkah hidup.
“Kerajaan perlu campur tangan dan membimbing pasangan muda ini terutama wanita supaya mereka tidak terjebak dalam aktiviti tidak bermoral seperti melacur bagi menampung kos hidup,” ujarnya
.
Kerajaan juga katanya, perlu mencari jalan penyelesaian terbaik untuk menangani isu kekeluargaan (cerai) termasuk mengadakan seminar atau bengkel bagi memberi kesedaran kepada pasangan muda lain.

Comments