Pilih jurusan mendapat permintaan

 

Pelajar cemerlang peperiksaan awam disaran pilih jurusan yang tepat
MIRI: Pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan awam disaran memilih jurusan yang tepat selaras dengan pasaran pekerjaan bagi mengelakkan mereka menganggur pada masa akan datang.
Pengerusi Mimbar Permuakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak Wan Zain Syed Mohdzar (gambar) berkata ramai pelajar cemerlang dalam peperiksaan awam masih dalam dilema sama ada untuk menyambung pelajaran atau bekerja.
“Jika mereka berhasrat untuk menyambung pelajaran, maka mereka perlu memilih jurusan-jurusan yang dikehendaki pasaran kerja dan janganlah mengambil jurusan tertentu disebabkan dipengaruhi rakan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Wan Zain menjelaskan, kebanyakan graduan yang menganggur sekarang adalah kerana tersalah pilih jurusan dan industri yang lebih menginginkan pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi.
“Bidang-bidang profesional seperti kedoktoran, akauntan dan sebagainya mendapat tempat dalam pasaran kerja sekarang dan saya percaya jika pelajar bijak memilih jurusan, maka pengangguran di kalangan graduan dapat dielakkan,” jelasnya.
Dalam masa sama, pelajar yang cemerlang seharusnya mengambil peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi berbanding bekerja terus sebaik tamat persekolahan.
“Mereka masih muda dan keghairahan untuk belajar masih ada, sehubungan itu mereka perlu mengambil peluang itu untuk menyambung pelajaran dan merancang masa depan dengan baik,” ujarnya.
Mengulas mengenai trend memilih bidang perguruan dan kepolisan sebagai bidang pekerjaan terakhir, Wan Zain menjelaskan situasi tersebut sepatutnya tidak berlaku di kalangan graduan yang tamat pengajian.
“Tidak dinafikan terdapat graduan yang mengambil jurusan dalam sains, teknologi maklumat (IT) dan sebagainya bertindak memilih pekerjaan dalam bidang perguruan dan kepolisan kerana kekurangan pekerjaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihati bakal-bakal pelajar universiti supaya memilih jurusan yang tepat dengan pasaran kerja berbanding membuang masa selama tiga atau empat tahun memilih jurusan salah.
“Kita tidak mahu mereka membuang masa belajar dalam bidang tertentu tetapi pada akhirnya memilih bidang pekerjaan seperti guru dan polis kerana ijazah atau diploma mereka tidak tepat dengan pasaran kerja sedia ada,” jelasnya.

Comments