Kerajaan timbang beri sara hidup kepada gulungan miskin

Pertimbang pemberian sara hidup khas golongan berpendapatan rendah: MAPIM


Kerajaan perlu mempertimbangkan pemberian sara hidup khas kepada keluarga yang berpendapatan di bawah RM1,500 sekiranya memutuskan untuk menaikkan harga barang.

Pengerusi Mimbar Permuakatan Ibu Bapa Malaysia (MAPIM) Sarawak, Wan Zain Syed Modzar berkata langkah tersebut wajar kerana kenaikan harga barang akan menjejaskan kehidupan keluarga yang berpendapatan bawah RM1,500.

Antara cadangan beliau termasuk menyediakan bantuan sara diri sebanyak RM250 sebulan kepada keluarga berpendapatan bawah RM1,500 dan bantuan RM500 kepada warga emas bukan penerima pencen kerajaan.

“Sudah pasti keluarga yang mempunyai anak-anak yang ramai dan masih bersekolah akan berasa terbeban dengan kenaikan harga barang serta menimbulkan kesan perpecahan dalam rumah tangga,” katanya.

Menurut beliau lagi, sekiranya harga barang terus naik maka tidak hairan jika berlaku situasi ibu bapa yang kurang berkemampuan akan menghentikan anak-anak mereka daripada bersekolah.

“Kenaikan harga barang tidak setimpal dengan kenaikan gaji malahan ada ibu bapa yang masih menerima gaji yang sama walaupun sudah bekerja lebih 10 tahun dan ia satu isu yang perlu diambil serius,” jelasnya.

Wan Zain berkata demikian sebagai mengulas isu kenaikan harga petrol dan barangan lain yang turut melahirkan kebimbangan di kalangan ibu bapa yang berpendapatan rendah.

Menurutnya lagi, sekiranya kenaikan harga barang terus berlaku, maka kerajaan perlu menyediakan satu peruntukan lain bagi membantu keluarga yang berpendapatan kurang RM1,500.

“Ia tidak menjadi masalah kepada kakitangan kerajaan kerana mereka sentiasa mendapat imbuhan dan bonus daripada kerajaan tetapi bagaimana pula dengan pekerja swasta atau mereka yang bekerja sendiri?,” ujarnya.

Tambahnya, kesan kenaikan harga barang akan membebankan setiap sudut kehidupan sesebuah keluarga terutamanya bagi keluarga yang mempunyai anak-anak yang ramai.

“Kesan inflasi akibat pengurangan subsidi kerajaan pastinya membawa kesan kepada keluarga yang berpendapatan rendah malah perancangan perbelanjaan keluarga yang sebelum ini sekadar cukup makan akan menjadi kais pagi makan pagi,” jelasnya lagi.

Beliau berharap kerajaan mempertimbangkan semua perkara dan bebanan rakyat sebelum memutuskan untuk menaikkan harga barang selaras dengan gagasan 1Malaysia.

<< Previous Entry - Next Entry >>



LikeNo


Post as …

Comments